Perkahwinan mula bermasalah bila... Ehsan Majalah Mingguan Wanita
Alam perkahwinan yang bahagia adalah impian setiap pasangan. Malah kalau boleh sehingga ke akhir hayat. Namun bukan semua bernasib baik. Ada yang berdepan dengan masalah rumah tangga di pertengahan jalan. Puncanya mungkin dari isteri dan tidak terkecuali dari suami juga. Boleh jadi juga kerana faktor di bawah ini:
Bosan
Sesekali berasa bosan mungkin biasa tetapi kalau sentiasa berasa demikian, ada sesuatu masalah tentang perkahwinan anda. Seharusnya anda berfikiran positif, cari hobi baru, pergi melancong dan perbaiki hubungan seks dengan pasangan. Insya-Allah, perasaan bosan akan hilang.
Masalah kewangan
Ada pasangan suami isteri bercerai-berai kerana soal duit. Perbincangan semakin panas, bila lelaki khususnya sentiasa memberi alasan tiada wang sedangkan mereka keluar bekerja setiap hari. Bila masalah wang mula timbul, rancang dengan betul perbelanjaan dan jangan membazir pada perkara tidak perlu.
Suasana dalam rumah yang tidak ceria
Sesuatu yang statik adalah sangat membosankan. Ia mungkin berpunca dari sikap anda, suasana dalam rumah, susun atur perabot, warna cat dan sebagainya. Ciptalah sedikit kelainan baik dari segi sikap anda atau pun suasana rumah anda. Insya- Allah, hubungan akan kembali ceria.
Soal ipar-duai
Ini antara masalah yang sering timbul. Lebih serius lagi jika anda tinggal beramai-ramai dalam satu rumah. Sikap tentunya tidak sama, anda mungkin tidak ‘sekepala’ dengan mereka hingga mudah tercetus konflik.
Tiada anak
Perkara ini sering membuatkan hati wanita berasa sangat walang. Bagi mereka, tidak boleh mengandung sekali gus melahirkan anak adalah satu kelemahan diri dan ia membuka ruang kepada suami untuk menceraikan dirinya atau berkahwin lain. Anak adalah rezeki Allah, maka teruskan berusaha bagi pasangan yang belum memperolehnya. Paling tidak, jalan terakhir adalah mengambil anak angkat.
Prinsip keluarga yang berbeza
Berkahwin bermakna anda perlu mengenali ramai orang baru dalam hidup anda. Ahli keluarga baru mungkin berbeza prinsip dengan diri anda dan ia mungkin menjadi punca perbalahan.
Apa yang harus anda lakukan? Bila dua kepala, tidak bermakna anda tidak boleh bersatu hati. Beralah adalah satu cara terbaik untuk menyelamatkan rumah tangga anda.
Tidak bersedia punya anak
Ada sesetengah wanita memegang prinsip tidak mahu punya anak di awal perkahwinan. Mungkin mereka memikirkan pekerjaan, bentuk tubuh, tidak punya masa untuk bersosial dan sebagainya.
Tapi suami mereka mungkin punya pendirian berbeza. Ia boleh menjadi punca keretakan rumah tangga. Apa yang harus dilakukan bila terjadi hal ini? Berbincanglah dari hati ke hati.
Mengikut kepala sendiri
Perkahwinan adalah penyatuan dua jiwa. Ia adalah satu hubungan jangka panjang di mana segala-galanya perlu dikongsi berdua. Tiada lagi sebarang rahsia baik di pihak suami mahu pun isteri.
Namun perkahwinan akan bermasalah jika anda menyimpan seribu rahsia dengan pasangan. Akan timbul rasa curiga dan ketidakpercayaan antara satu sama lain. Tindakan terbaik ialah bercerita sejujurnya, berkongsi suka dan duka bersama-sama kerana itulah resipi kebahagiaan.
Tiada tanggungjawab
Memasuki alam rumah tangga bermakna banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Jika gagal melaksanakannya maka rumah tangga tentunya akan berantakan. Malah banyak kes perceraian berpunca daripada perkara ini. Jika anda termasuk dalam masalah ini maka ubahlah sikap menjadi pasangan yang lebih bertanggungjawab demi keutuhan rumah tangga.
Soal seks
Seks yang terlalu kerap, terlalu kurang, statik dan sebagainya akan menimbulkan masalah tidak puas hati antara suami isteri. Langkah terbaik dalam menangani masalah seks ini dengan bersikap terbuka dan saling berkomunikasi.
twiittt; sama-sama memperbaiki kesilapan diri supaya kebaikan sentiasa meiringi kehidupan berumahtangga
No comments:
Post a Comment